MEMORANDUM BANTAHAN ARTIS MAS IDAYU DAN ELLA SEMPENA KONSERT BOLA SEPAK PIALA SULTAN SELANGOR June 23, 2008
Posted by dppns in Uncategorized.trackback
16 Jun 2008 / 12 Jamadil akhir 1429
Kepada;
Y.A.B. Dato’ Seri Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Dato’ Menteri Besar Selangor
Pejabat Menteri Besar Selangor,
Tingkat 21, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah,
40000 Shah Alam, Selangor.
Y.A.B. Tan Sri,
MEMORANDUM BANTAHAN KONSERT MAS IDAYU DAN ELLA SEMPENA PERLAWANAN BOLASEPAK PIALA SULTAN SELANGOR 6 JULAI 2008
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) membantah sekeras-kerasnya acara konsert yang membariskan penyanyi dan artis Ella dan Mas Idayu sebelum kejohanan tersebut yang kami lihat sebagai suatu acara maksiat dan tidak bersesuaian dengan kejohanan tersebut. Kami percaya banyak lagi acara lain yang lebih bermanfaat boleh dianjurkan, agar akhlak dan nilai moral rakyat Selangor yang selama ini diabaikan oleh kerajaan BN akan dapat dipelihara.
41. Iaitu mereka (umat Islam) Yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.
Pihak kami juga yakin masih banyak alternatif hiburan halal yang dapat disajikan kepada rakyat, selain konsert hiburan para artis yang merosakkan, yang tidak punya nilai dan visi di dalam mendidik masyarakat. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) berharap agar kerajaan pimpinan YAB Tan Sri dapat menilai semula keperluan acara konsert tersebut kerana ia tidak memberikan manfaat yang besar kepada rakyat.
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) yakin YAB Tan Sri dapat memperbetulkan perkara ini demi kesejahteraan dan keselamatan kita semua di bumi Allah ini. Akhirnya kami mendoakan semoga kerajaan ini terus menerus menerima barakah dari Allah swt di bawah kepimpinan YAB Tan Sri.
Sekian, terima kasih.
’Selamatkan Demokrasi, Tegakkan Keadilan’
Yang menjalankan amanah,
Ustaz Sallehin Mukhyi
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
Comments»
No comments yet — be the first.